Akhir-akhir ini semenjak adanya kemajuan teknologi seperti CCTV, perkara intipan untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan seseorang individu terutamanya dikalangan ahli-ahli atau pemimpin politik tidak kira dari kalangan parti kerajaan mahupun pembangkang semakin menjadi. Tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk menjatuhkan maruah pemimpin atau individu tersebut hanya untuk kepentingan politik.
Senario politik di Malaysia kini semakin parah.Mengaibkan orang lain, mengumpat, memfitnah dan sebagainya dilihat telah menjadi 'asam garam' dunia politik di Malaysia (Sebuah Negara ISLAM).Manakala pemain-pemainnya terdiri dari orang-orang Melayu yang mengaku beragama ISLAM.Hakikatnya perkara-perkara tersebut dilarang keras dalam ISLAM.Adakah kerana kecintaan kepada dunia (Kuasa dalam politik) semata-mata maka kita sanggup 'menghalalkan yang telah diharamkan' dalam Al-Quran demi mencapai cita-cita kemenangan politik?
Walaupun mungkin individu dalam video intipan itu benar-benar melakukan perkara tersebut, hakikatnya kita tidak boleh mengaibkan beliau memandangkan beliau juga beragama ISLAM. Apatah lagi hasil dari video intipan itu maka tersebarlah umpatan-umpatan yang keji terhadap beliau. Lebih teruk lagi jika sebenarnya video itu hanya di'edit' atau individu itu bukan orang yang dimaksudkan, maka fitnah bertaburan.
Baik pihak kerajaan atau pembangkang, dalam berpolitik tak seharusnya kita mengenepikan Hukum Al-Quran memandangkan kita beragama Islam, berada di sebuah Negara Islam dan bercita-cita menegakkan HUKUM ISLAM.