Search This Blog

Sunday, June 20, 2010

Melayu dan Slogan


Pemimpin Melayu kini dilihat lebih banyak mengutamakan slogan dari tindakan. Apalah yang ada pada slogan semata-mata jika tidak disertakan dengan tindakan? Slogan 'Hidup Melayu' ingin ditukar kepada 'Melayu Cemerlang' untuk menjadikan Melayu lebih berdaya saing. Pada pendapatcsaya, adalah lebih baik jika semangat 'Melayu Cemerlang' itu sendiri ditanam dalam jiwa anak-anak bangsa bermula dari kecil seperti dibangku sekolah lagi. Kenapa Melayu ketinggalan dari segi kemajuan ekonomi berbanding kaum lain? Walhal ini adalah tanah warisan nenek moyang kita. Sebenarnya kita tidak pernah dididik agar cemerlang walaupun hakikatnya guru-guru dan ibubapa menyarankan agar anak-anak mereka cemerlang dibidang akademik. Mereka menyarankan agar anak-anak bangsa ini cemerlang dalam bidang akademik agar dapat melanjutkan pelajaran ke universiti seterusnya dapat menjawat jawatan yang besar kelak. Bergaji besar dan berkereta besar. Saranan ini sebenarnya menjerumus anak-anak bangsa ini untuk bekerja makan gaji. Kenapa guru-guru dan ibubapa tidak menggalakkan anak-anak bangsa ini untuk menceburi bidang perniagaan? Lebih baik jika setiap anak-anak ini dididik agar mengenalpasti bakat mereka dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Tidak kiralah dalam bidang apa sekalipun. Berniaga, Mekanik, Pertanian, Lukisan, Penulisan, Ukiran, Muzik dan sebagainya asalkan mereka bersungguh. Tidaklah mereka ini hanya mengharapkan untuk kerja makan gaji semata-mata. Berapa keratkah lulusan-lulusan Universiti yang akjan dapat kerja makan gaji? Jika tidak dapat kerja makan gaji, maka mereka mula terumbang-ambing dan tercari-cari arah. Sedangkan dalam masa yang sama bangsa lain telah maju dalam bidang masing-masing tanpa perlu untuk mengharapkan untuk kerja makan gaji. Mereka menguasai bidang ekonomi,industri muzik,industri pertanian,industri pengiklanan,industri mekanikal hatta perniagaan kecil-kecilan seperti perniagaan runcit dan jual sayur di market pun dikuasai oleh mereka. Apa yang jadi dengan bangsa kita? Hanya kaya dengan slogan. Bermacam-macam jenis slogan. Akhirnya kelak bangsa kita mati ditimpa slogan.

No comments:

Post a Comment